Saturday, September 24, 2011

Penyesalan.

Assalamualaikum,

Tatkala entri ini ditaip, hati si penulis sedang dan masih memikirkan keputusannya untuk berpindah dari sekolah lamanya. Walaupun sudah hampir dua tahun si penulis ini berpindah, namun hatinya masih tidak boleh melepaskan memori dan kenangan di sekolah lama. Hatinya masih enggan menerima sekolah baru walaupun sekolah tersebut, dalam caranya sendiri, merupakan sekolah yang ternyata lebih baik daripada sekolah lamanya. Fikirannya masih mencari alasan yang kukuh mengapa ibunya memindahkannya ke sekolah baru walaupun sudah acapkali dia mengatakan bahawa dia tidak mahu berpindah.

Menyesalkah dia kerana meninggalkan sekolah lama? Menyesalkah dia kerana melepaskan peluang keemasan yang datang bergolek di kakinya? Menyesalkah dia kerana meninggalkan rakan-rakan yang disayangi dan guru-guru yang dikasihi? Menyesalkah dia kerana meninggalkan peluang untuk menjadi antara pelajar cemerlang sekolahnya dalam SPM nanti?

Berapa ramai pelajar lepasan UPSR berebut-rebut untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) selepas menerima keputusan UPSR. Berapa ramai pelajar yang menghantar permohonan ke SBP dan MRSM. Pernah sekali, semasa si penulis ini berada di Tingkatan 3 di sekolah lamanya, permohonan yang diterima untuk kemasukan pelajar Tingkatan 1 sesi 2010 melebihi seribu, meskipun tempat yang ditawarkan hanyalah sebanyak 170 orang sahaja.

Kenapa si penulis ini sanggup melepaskan peluangnya dan berpindah ke sekolah swasta? Bukankah pelajar SBP itu dianggap sebagai pelajar yang beruntung *bak kata orang lain*? Lagi-lagi kalau seseorang itu, seperti si penulis ini, merupakan pelajar di SBP yang dikira sebagai 'top school' Malaysia, macam STF, SSP, TKC, MCKK, STAR, SASER, dan yang seangkatan dengannya.

Takdir.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." [2:216]

Ya. Mungkin si penulis ini bodoh kerana melepaskan sahaja peluangnya di sekolah lama. Masa depannya di sekolah lama sudah terjamin cerah. Si penulis mempunyai peluang yang tinggi untuk menjadi pemain bola keranjang sekolahnya dan mewakili sekolahnya dalam Hari Kecemerlangan SBP. Si penulis mempunyai harapan untuk menjadi salah seorang pengawas sekolah. Si penulis... Ah, there's no need to write about what could have happened.


Sampai sekarang, ramai yang masih tidak memahami kenapa si penulis ini berpindah meninggalkan SBP tersebut. Sehingga kini, si penulis masih diasak dengan soalan demi soalan yang acapkali menyebabkannya mahu menangis. Ya, si penulis ini kelihatan tersenyum ceria, tetapi derita di hati, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Peritnya perpisahan itu disimpan di hati, kesedihan dan kepahitan hidup diselindungkan dengan gelak tawa, semata-mata untuk menggembirakan hati ibu bapa yang begitu mengharapkan kejayaan daripadanya.

Setiap kali ada yang bertanya kepadanya, 'Kenapa kau pindah sekolah?', si penulis hanya mampu tersenyum sambil menjawab, 'Hanya Allah yang Tahu.' Dan sekiranya mereka bertanya lagi, 'Kau tak menyesal ke tinggalkan SSP?', si penulis hanya akan mendiamkan dirinya.

Si penulis tidak menyesal, tidak sama sekali, cuma hatinya terkilan kerana sehingga kini dia masih tidak dapat menyesuaikan diri di sekolah baru. Baginya, dunia ini terlalu pendek untuk sebarang penyesalan. (:




Share |

0 Terbunuh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...